KAMPONG TOK PADUKA RAJA


Kampong Tok Paduka Raja adalah terletak didalam mukim Pulau Tiga.Nama Kampong Tok Paduka Raja telah diambil daripada gelaran abang Hj Mat Perak yang menjawat sebagai Orang Besar Empat negeri Perak dengan memakai gelaran Tok Paduka Raja 
disuatu ketika dahulu.

Menurut cerita daripada Allahyarhamah Teh Jamilah isteri kepada Allahyarham Penghulu Mansor Tok Paduka Raja adalah seorang Guru Agama,Guru Al Quran,Ketua Kampong dan Pawang besar yang menjaga hal ehwal kampong daripada ganguan Jin atau Syaitan di Kampong Pulau Tiga ini suatu ketika dahulu.

Menambah dari cerita Allahyarhamah Teh Jamilah lagi,pada setiap tahun Tok Paduka Raja akan mengadakan upacara Berjamu Kampong (Kenduri).Apabila upacara ini akan diadakan Tok Paduka Raja akan mendirikan tujuh tingkat bangsal dan upacara ini akan berlangsung selama tujuh hari tujuh malam.

PUSARA TOK PADUKA RAJA


 Beginilah keadaan Pusara Tok Paduka Raja yang terletak ditanah Wakaf Kampong Tok Paduka Raja mungkin Pulau Tiga.Menurut cerita daripada mulut kemulut ditengah tengah Pusara Tok Paduka raja ini sentiasa ada BUSUT dibahagian tengahnya.BUSUT ini akan lebih membesar dan meninggi jika ada diantara anak anak cucunya mendapat kenaikan pangkat yang tinggi didalam kerjaya mereka. 

RUMAH TOK PADUKA RAJA.


Ini adalah rumah Tok Paduka Raja yang terletak ditepi tebing Sg Perak yang sekarang ini telah dimiliki oleh Piutnya iaitu Hajjah Atikah.Menurut cerita asal rumah ini adalah terletak di Parit Tok Melur.Tok Paduka Raja telah mengubahkan rumah ini ketapak yang ada sekarang ini pada waktu malam...Tidak dapat diketahui bagaimana caranya Tok Paduka Raja mengubahkan rumah ini,cuma dipagi harinya hanya kesan berlorong sahaja dapat dilihat orang...Wallahualam.

KETUA KETUA KAMPONG TOK PADUKA RAJA

Diantara tokoh tokoh yang telah menjawat sebagai Ketua Kampong Tok Paduka Raja ini semenjak daripada penghujung tahun 60an adalah seperti berikut :-

TOK SIDANG JOHOR

Pak Johor

Allahyarham Johor bin Mahad telah menjawat jawatan ketua kampong Tok Paduka Raja ini pada penghujung tahun 60an sehingga pertengahan tahun 70an.
Semasa menjawat sebagai Ketua Kampong disini,kampong ini belum lagi dinamakan Kampong Tok Paduka Raja.Pada asalnay kampong ini dinamakan Kampong Melayu Pulau Tiga.Beliau amat disenangi dan disegani oleh penduduk kampong.

HJ MOHAMMAD SHAHARUDIN BIN MANSOR

Hj Muhammad Shaharudin. 

Kemudian daripada itu jawatan ketua Kampong ini telah beralih kepada Tuan Hj Mohammad Shaharudin bin Ngah Mansor.Beliau adalah seorang Pencen DID.Beliau juga adalah ahli sejarah didalam kampong ini,yang mana banyak pengkaji sejarah daripada Universiti telah datang menemuinya untuk mendapatkan maklumat mengenai sejarah sejarah dikampong ini.
Semasa menjawat sebagai Ketua Kampong di kampong Tok Paduka Raja ini beliau amat disenangi orang dan berbagai pembaharuan telah dilakukanya didalam kampong ini.

AYOB BIN JABAR

Ayob bin Ngah Jabar.

Selepas Hj Muhammad Shaharudin melepaskan jawatan sebagai Ketua Kampong disebabkan keuzuran,jawatan ketua kampong telah disandang oleh En Ayob bin Ngah Jabar.Sebelum menjawat jawatan ini daripada abang iparnya iaitu Hj Muhammad Shaharudin beliau adalah setiausaha didalam AJKKK Kampong Tok Paduka Raja ini.
Dengan berbekalkan pengalaman sebagai setiausaha segala hal ehwal berkenaan dengan kampong telah banyak diketahui oleh nya,dengan ini apabila menjawat sebagai Ketua Kampong segala urusan menjadi mudah baginya.Berbagai pembaharuan dan kemajuan didalam kampong telah tercapai semasa beliau menjadi Ketua Kampong.Diantaranya mengetar jalan untuk masuk kelorong lorong kampong,mendapatkan batuan rumah PPRT untuk keluarga yang kurang mampu,mendapatkan bantuan kerajaan bagi keluarga termiskin dan berbagai bagai lagi kemudahan untuk penduduk kampong telah dipohonkan dari kerajaan.
Ayob Bin Jabar juga adalah sebagai seorang Penulis Rayuan dikampong ini.Akibat daripada keuzuran pada dirinya, jawatan ini telah dilepaskan kepada Abas bin Ahmad.


ABAS BIN AHMAD

En Abas bin Ahmad adalah seorang Pencen daripada jawatan sebagai Tukang kebun Sekolah Kebangsaan Raja Chulan Pulau Tiga.Sebelum menerima Jawatan ini daripada Ayob bin Ngah Jabar beliau adalah salah seorang AJKKK Kampong Tok Paduka Raja ini.
Setelah menerima jawatan sebagai Ketua Kampong beliau telah meneruskan segala perancangan yang telah dibuat sebelum ini.Setelah mentadbirkan kampong ini selama beberapa penggal beliau telah meletakan jawatannya sebagai ketua kampong.

AHMAD ZAINI BIN HASAN

Ahmad Zaini bin Hasan.

Kekosongan Jawatan Ketua Kampong ini telah diisi oleh Ahmad Zaini bin Hasan.Perlantikan Ahmad Zaini bin Hasan sebagai Ketua kampong yang baru adalah satu pembaharuan kepada tradisi sebagai Ketua Kampong dikampong ini,yang mana kebiasaanya Ketua Kampong dipilih dari kalangan kaum tua.
Dengan perlantikan Ahmad Zaini Hasan dari kaum muda,dengan tenaga muda dan cara berfikir mengikut cara muda, sebagai Ketua kampong disini,berbagai pembaharuan yang positif telah dilakukan dikampong ini.Berbagai aktiviti yang bermunafaat untuk penduduk kampong telah dilaksanakan dengan jayanya.Beliau telah menjalinkan hubungan yang baik dengan penduduk daripada golongan tua mahupun yang muda.Beliau seorang yang disenangi daripada semua peringkat penduduk kampong ini.
Sebagai Ketua Kampong Encik Ahmad Zaini telah membuat pemantauan terhadap anasir anasir yang kurang sihat dikampong ini sehingga keadaan kampong ini menjadi aman dan tenteram kepada penduduknya.Sehingga kepada tarikh saya menulis Blog ini beliau masih kekal memegang jawatan sebagai Ketua Kampong Tok Paduka Raja ini. 

ASAL MARDASAH EHSANIAH

Kedudukan asal Mardasah Ehsaniah adalah
ditepi tebing Sg Perak.


Tapak Mardasah ini adalah diwakafkan oleh
Penghulu Mansor anak saudara kepada Tok Paduka Raja.

TAPAK MARDASAH EHSANIAH



Disinilah tapak asal Madrasah Ehsaniah Kampong Tok Paduka Raja
 yang terletak dipinggir Sg Perak dihadapan rumah Penghulu Mansor yang suatu ketika dahulu pernah menjadi Penghulu di Kampong Pulau Tiga.Tapak Madrasah ini adalah diwakafkan oleh Penghulu Mansor.

RUMAH PENGHULU MANSOR. 


Keadaan rumah Penghulu Mansor pada tahun 1934.


Beginilah keadaan rumah penghulu Mansor pada tahun 50an yang mana kedudukan rumah ini berhadapan dengan Mardasah Ehsaniah Kampong Tok Paduka Raja..Dari pada kanan ialah Khadijah,Fatimah Sham,Teh Jamilah (Isteri Penghulu Mansor) Penghulu Mansor dan Hj Mustapha anak bungsu kepada Penghulu Mansor.

KEADAAN RUMAH PENGHULU MANSOR SEBELUM DIROBOHKAN.


Rumah ini akhirnya telah diwarisi oleh anak perempuan iaitu anak keempat Penghulu Mansor yang bernama Khadijah.Gambar ini telah dirakamkan pada 23hb January 1999 bersamaan dengan 5 Shawal 1419.

PEWARIS RUMAH PENGHULU MANSOR

Khadijah binti Mansor dan suami 
Ayob bin Ngah Jabar.

Rumah ini kemudian telah diwarisi oleh genarasi keenam Tok Paduka Raja iaitu anak ketiga daripada Khadijah iaitu Abdul Halim bin Ayob Ibrhim,dan seterusnya kepada anak tunggal Abdul Halim iaitu Aida Azuwa iaitu genarasi ketujuh keturunan Tok Paduka Raja ini.

KESAN PENINGGALAN RUMAH PENGHULU MANSOR


RUMAH HAJAH HABSAH DARI KETURUNAN 
TOK PADUKA RAJA

Hajah Habsah adalah anak kepada
Mohd Diah iaitu anak keempat Hj Mat Perak. Hajah Habsah adalah 
salah seorang cucu saudara Tok Paduka Raja.


Ini adalah rumah Hajah Habsah cucu saudara Tok Paduka Raja.Kedudukan rumah ini adalah berhadapan dengan tebing Sg Perak dan bersebelahan dengan rumah Penghulu Mansor.

PERHIMPUNAN CUCU CUCIT TOK PADUKA RAJA PADA TAHUN 1999


Buat pertama kalinya Cucu Cicit Tok Paduka Raja Berkumpul secara beramai ramai pada 5 shawal 1999.

MARDASAH EHSANIAH

Satu catatan mengenai Mardasah Ehsaniah
telah pun dibuat
kelik disini


Mardasah Ehsaniah Kampong Tok Paduka Raja adalah pada kedudukan asalnya adalah dihadapan rumah Penghulu Mansor telah dipindahkan ketepi jalan raya pada tahun 1969.Diantara orang tua tua yang terbabit didalam oparasi memindahkan Mardasah ini ialah Tok Lai (Mat Jelas) ,Alang Dolah,Pak Majid,Pak Dawam,Mat Kasim,Pak Mat Sapri (Ahmad bin Mat Jelas) dan penduduk penduduk kampong secara bergotong royong.Mardasah yang pada asalnya yang serba kekurangan kini telah dilengkapi dengan berbagai bagai kemudahan.

Mardasah yang terlalu banyak jasanya kepada penduduk penduduk Kampong Tok Paduka Raja.Daripada Mardasah ini anak anak kampong ini dapat menimba Ilmu Agama,dapat mendidik anak anak kampong ini berakhlak mulia.

Diantara Guru guru Agama yang berjasa dimardasah ini ialah seperti Tok Anjang (Panjang Ahmad) bapa kepada Cikgu Latif, Tuan Hj Salleh,Tuan Haji Maarof, Tuan Hj Daud, Tuan Hj Tahir, Ustaz Mohd Jamil, Tuan HJ Ali dan ramai lagi.

Ustaz Mohd Jamil

Adalah salah sorang yang banyak berjasa keatas anak anak kampong ini dalam mendidik Ilmu Agama.Beliau juga pernah memengang jawatan Pengerusi di Mardasah ini,disamping itu beliau juga menjadi Imam Dimardasah ini .

MAKAM SEJARAH SULTAN PERAK KE 8 DAN KE 14.

Lawatan Sultan Perak
ke Makam sejarah Makam Diraja pada tahun 1963.






Makam Sultan Mahmud Shah iaitu Sultan Perak ke 8 dan Sultan Muhammad Shah Sultan Perak ke 14 juga terletak di Kampong Tok Paduka Raja.Kedudukan Makam ini terletak ditepi tebing Sg Perak berhampiran dengan rumah Tok Sidang Johor.


Keadaan jalan menuju ke Makam Sejarah diraja.


Makam Sejarah ini terletak ditepi tebing Sg Perak.
Adalah menjadi Tradisi kepada adat istiadat Sultan Negeri perak,bilamana menaiki tahta didalam adat pertabalan diraja pasti akan menziarahi Makam ini.
Makam ini adalah didalam pengawasan pihak Muzium.

SEJARAH SEKOLAH KEB PULAU TIGA.

Sekolah ini siap pembinaanya disekitar tahun 1904, 
bagi menempatkan pelajar perempuan. Sekolah ini juga dinamakan juga
sekolah ibu.


Kedudukan sekolah ini
bersebelahan dengan rumah Allahyarham Tuan Hj Nordin.


sekolah Perempuan tertua di Mukim Pulau Tiga ini
adalah terletak ditepi tebing Sg Perak.


Beginilah rupa sekolah asal iaitu sekolah untuk pelajar perempuan yang terletak di Kampong Tok Paduka Raja ini.Bangunan yang berwarna hitam diatas adalah rumah Guru Besar sekolah ini. Rumah ini telah terbakar dan pada masa itu Cikgu Esah menjadi Guru Besar disini.


SEKOLAH LELAKI

Sekolah lelaki juga telah dibina
berhampiran dengan tebing Sg Perak. Sekolah lelaki
ini terletak disebelah dengan rumah Penghulu Harun berhampiran dengan
rumah Penghulu Mansor.

Kedudukan sekolah ini juga bersebelahan
 dengan rumah Hjh Atikah cucu saudara Tok Paduka Raja.



SEKOLAH CAWANGAN

Memandangkan murid kian bertambah sebuah sekolah Cawangan (Sekolah Binjai) bersempena dengan pokok binjai yang besar dikawasan itu, telah siap dibina pada tahun 1958


Dengan siapnya pembinaan 
sekolah cawangan pada tahun 1958 ini maka ianya dapat
menampong 2 kelas untuk pelajar lelaki dan perempuan. Bermulanya era 
sekolah campur dikampong Pulau Tiga.


Dari masa kesemasa sekolah  cawangan
yang dibina pada tahun 1958 ini telah ditambah, diperbaharui dan dipermodenkan
sehingga kesemua pelajar pelajar lelaki dan perempuan ditempatkan disini.


Bangunan sekolah kayu 
untuk pelajar perempuan ini adalah bangunan sekolah yang tertua disini dan bangunan sekolah ini dapat menjalankan oparasinya sehingga ke era tahun 80an.


Pada tahun 1970 sebuah bangunan sekolah telah siap pembinaanya.Dengan siapnya sekolah ini maka bermulanya pelajar lelaki dan perempuan disatukan dan Guru Besar yang pertamanya adalah Cikgu A'la.


Sambutan JUBLI INTAN 
Sek Keb Raja Chulan Pulau Tiga pada tahun 1975, iantara orang kenamaan yang turut hadir ialah Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Hj Hamdan.Berbagai barangan bersejarah dipamirkan sempena dengan perayaan Jubli Intan sekolah ini.

REBANA

Rebana adalah salah satu permainan Tradisional di kampong Tok Paduka Raja ini dan ianya sungguh mengashikkan.Kebiasaanya Rebana akan dimainkan ketika majlis perkahwinan atau sesuatu keraian dikampong ini.



Pada Sekitar tahun 60an adalah menjadi kemestian untuk dimainkan didalam majlis perkahwinan dikampong ini.Rebana akan dimainkan bermula dari majlis MENGANTONG sehingga tamat kerja kerja kenduri kawin.Pemain Rebana akan dijamu dengan makanan dan minuman.Akar pokok pinang dara akan dimasukan dedalam air kopi pemain Rebana menyebabkan mereka akan bermain Rebana ini sehingga kepagi harinya.



Beginilah keadaanya ketika memukul Rebana.Diantara lagu lagu Rebana yang sering dimainkan seperti Minallah,Ya Omar,Sala Tullah.Sakdoman,Sheikh Abdullah,Zainul Makkah dan banyak lagi lagu Rebana yang sering dimainkan oleh mereka.

Guru Rabana yang termashur di Kampong Tok Paduka Raja ini ialah seperti Allahyarham Muhammad kasim,Ahmad Sapri dan Din Jamin,sementara itu diantara tokoh pemain Rebana seperti Pak Man (Man Sakah),Pak Zee,Pak Adam,Pak Lope,Pak Uzir,Pak Ayob adik kepada Pak Uzir.Mereka inilah tokoh tokoh pemain Rebana yang tersohor disekitar tahun 60an hingga keawal 70an dan setengah dari mereka ini sehingga ke tahun 80an pun masih aktif lagi

Rebana boleh dimainkan secara dua pasukan,ini ketika dalam majlis perkahwinan diwaktu mempelai sampai.Pasukan Rebana dari sebelah lelaki dan sebelah perempuan akan berlawan pada ketika itu.