Jumaat, 13 Januari 2012

Kampong Tok Paduka Raja Pulau Tiga.

Kampong Tok Paduka Raja Pulau Tiga.

Kampong Tok Paduka Raja adalah terletak didalam mungkim Pulau Tiga.Nama Kampong Tok Paduka Raja telah diambil daripada gelaran Hj Mat Perak yang menjawat sebagai Orang Bersar Empat negeri Perak dengan memakai gelaran Tok Paduka Raja disuatu ketika dahulu.

Menurut cerita daripada Allahyarhamah Teh Jamilah isteri kepada Allahyarham Penghulu Mansor Tok Paduka Raja adalah seorang Guru Agama,Guru Al Quran,Ketua Kampong dan Pawang besar yang menjaga hal ehwal kampong daripada ganguan Jin atau Syaitan di Kampong Pulau Tiga ini suatu ketika dahulu.

Menambah dari cerita Allahyarhamah Teh Jamilah lagi,pada setiap tahun Tok Paduka Raja akan mengadakan upacara Berjamu Kampong (Kenduri).Apabila upacara ini akan diadakan Tok Paduka Raja akan mendirikan tujuh tingkat bangsal dan upadara ini akan berlangsung selama tujuh hari tujuh malam.

KUBUR HJ MAT PERAK (TOK PADUKA RAJA)

 
Beginilah keadaan Kubur Tok Paduka Raja yang terletak ditanah Wakaf Kampong Tok Paduka Raja mungkin Pulau Tiga.Menurut cerita daripada mulut kemulut ditengah tengah Kubur Tok Paduka raja ini sentiasa ada BUSUT dibahagian tengahnya.BUSUT ini akan lebih membesar dan meninggi jika ada diantara anak anak cucunya mendapat kenaikan pangkat yang tinggi didalam kerjaya mereka. 


RUMAH TOK PADUKA RAJA.


Ini adalah rumah Tok Paduka Raja yang terletak ditepi tebing Sg Perak yang sekarang ini telah dimiliki oleh Piutnya iaitu Hajjah Atikah.Menurut cerita asal rumah ini adalah terletak di Parit Tok Melur.Tok Paduka Raja telah mengubahkan rumah ini ketapak yang ada sekarang ini pada waktu malam...Tidak dapat diketahui bagaimana caranya Tok Paduka Raja mengubahkan rumah ini,cuma dipagi harinya hanya kesan berlorong sahaja dapat dilihat orang...Wallahualam.

TAPAK ASAL MARDASAH EHSANIAH




Disinilah tapak asal Madrasah Ehsaniah Kampong Tok Paduka Raja yang terletak dipinggir Sg Perak dihadapan rumah Penghulu Mansor yang suatu ketika dahulu pernah menjadi Penghulu di Kampong Pulau Tiga.Tapak Madrasah ini adalah diwakafkan oleh Penghulu Mansor iaitu cicit kepada Tok Paduka Raja.



RUMAH PENGHULU MANSOR.



Beginilah keadaan rumah penghulu Mansor pada tahun 50an yang mana kedudukan rumah ini berhadapan dengan Mardasah Ehsaniah Kampong Tok Paduka Raja..Dari pada kanan ialah Khadijah,Sham,Teh Jamilah (Isteri Penghulu Mansor) Penghulu Mansor dan Hj Mustapha anak bungsu kepada Penghulu Mansor.

KEADAAN RUMAH PENGHULU MANSOR SEBELUM DIROBOHKAN.


Rumah ini akhirnya telah diwarisi oleh anak perempuan iaitu anak keempat Penghulu Mansor yang bernama Khadijah.Gambar ini telah dirakamkan pada 23hb January 1999 bersamaan dengan 5 Shawal 1419.

PEWARIS RUMAH PENGHULU MANSOR.


 Khadijah binti Mansor dan suami Ayob bin Ngah Jabar.

Rumah ini kemudian telah diwarisi oleh genarasi keenam Tok Paduka Raja iaitu anak ketiga daripada Khadijah iaitu Abdul Halim bin Ayob Ibrhim,dan seterusnya kepada anak tunggal Abdul Halim iaitu Aida Azuwa iaitu genarasi ketujuh keturunan Tok Paduka Raja ini.

KESAN PENINGGALAN RUMAH PENGHULU MANSOR.


RUMAH HAJJAH HABSAH DARI KRTURUNAN TOK PADUKA RAJA.


Ini adalah rumah Hajah Habsah yang berketurunan Tok Paduka Raja.Kedudukan rumah ini adalah berhadapan dengan tebing Sg Perak dan bersebelahan dengan rumah Penghulu Mansor.


PERHIMPUNAN CUCU CUCIT TOK PADUKA RAJA PADA TAHUN 1999


Buat pertama kalinya Cucu Cicit Tok Paduka Raja Berkumpul secara beramai ramai pada 5 shawal 1999.

SUSUN ATUR KAWASAN RUMAH PENGHULU MANSOR PADA ERE 60AN.


Beginilah susun atur dikawasan rumah Penghulu Mansor dipertengahan tahun 60 an yang mana semuanya terletak di tepi tebing Sungai Perak kerana dizaman sebelum adanya jalan raya sungai adalah penggankutan utama disini.Sekolah lelaki dan juga Balai Penghulu didirikan disini.

MARDASAH EHSANIAH.


Mardasah Ehsaniah Kampong Tok Paduka Raja adalah pada kedudukan asalnya adalah dihadapan rumah Penghulu Mansor telah dipindahkan ketepi jalan raya pada tahun 1969.Diantara orang tua tua yang terbabit didalam oparasi memindahkan Mardasah ini ialah Tok Lai (Mat Jelas) ,Alang Dolah,Pak Majid,Pak Dawam,Mat Kasim,Pak Mat Sapri (Ahmad bin Mat Jelas) dan penduduk penduduk kampong secara bergotong royong.Mardasah yang pada asalnya yang serba kekurangan kini telah dilengkapi dengan berbagai bagai kemudahan.

Mardasah yang terlalu banyak jasanya kepada penduduk penduduk Kampong Tok Paduka Raja.Daripada Mardasah ini anak anak kampong ini dapat menimba Ilmu Agama,dapat mendidik anak anak kampong ini berakhlak mulia.

Diantara Guru guru Agama yang berjasa dimardasah ini ialah seperti Tok Anjang (Panjang Ahmad) bapa kepada Cikgu Latif, Tuan Hj Salleh,Tuan Haji Maarof, Tuan Hj Daud, Tuan Hj Tahir, Ustaz Mohd Jamil, Tuan HJ Ali dan ramai lagi.

Ustaz Mohd Jamil
Adalah salah sorang yang banyak berjasa keatas anak anak kampong ini dalam mendidik Ilmu Agama.Beliau juga pernah memengang jawatan Pengerusi di Mardasah ini,disamping itu beliau juga menjadi Imam Dimardasah ini .

MAKAM SEJARAH SULTAN PERAK KE 8 DAN KE 14.



Makam Sultan Mahmud Shah iaitu Sultan Perak ke 8 dan Sultan Muhammad Shah Sultan Perak ke 14 juga terletak di Kampong Tok Paduka Raja.Kedudukan Makam ini terletak ditepi tebing Sg Perak berhampiran dengan rumah Tok Sidang Johor.

Keadaan jalan menuju ke Makam Sejarah diraja.

Makam Sejarah ini terletak ditepi tebing Sg Perak.

Adalah menjadi Tradisi kepada adat istiadat Sultan Negeri perak,bilamana menaiki tahta didalam adat pertabalan diraja pasti akan menziarahi Makam ini.

Makam ini adalah didalam pengawasan pihak Muzium.

SEJARAH SEKOLAH KEB PULAU TIGA.

Sekolah ini siap pembinaanya disekitar tahun 1904.


Beginilah rupa sekolah asal iaitu sekolah untuk pelajar perempuan yang terletak di Kampong Tok Paduka Raja ini.Bangunan yang berwarna hitam itu adalah rumah Guru Besar sekolah ini.Rumah ini telah terbakar dan pada masa itu Cikgu Esah menjadi Guru Besar disini.


Memandangkan murid kian bertambah sebuah sekolah Cawangan (Sekolah Binjai) bersempena dengan pokok binjai yang besar dikawasan itu, telah siap dibina pada tahun 1958


Bangunan sekolah kayu untuk pelajar perempuan ini adalah bangunan sekolah yang tertua disini dan bangunan sekolah ini dapat menjalankan oparasinya sehingga ke era tahun 80an.


Pada tahun 1970 sebuah bangunan sekolah telah siap pembinaanya.Dengan siapnya sekolah ini maka bermulanya pelajar lelaki dan perempuan disatukan dan Guru Besar yang pertamanya adalah Cikgu A'la.

Beginilah susun atur keadaan disekeliling Sekolah Tua di Kampong Tok Paduka Raja dipersekitar tahun 70an yang mana telah dijadikan PUSAT GIAT MARA.

REBANA.

Rebana adalah salah satu permainan Tradisional di kampong Tok Paduka Raja ini dan ianya sungguh mengashikkan.Kebiasaanya Rebana akan dimainkan ketika majlis perkahwinan atau sesuatu keraian dikampong ini.


Pada Sekitar tahun 60an adalah menjadi kemestian untuk dimainkan didalam majlis perkahwinan dikampong ini.Rebana akan dimainkan bermula dari majlis MENGANTONG sehingga tamat kerja kerja kenduri kawin.Pemain Rebana akan dijamu dengan makanan dan minuman.Akar pokok pinang dara akan dimasukan dedalam air kopi pemain Rebana menyebabkan mereka akan bermain Rebana ini sehingga kepagi harinya.


Beginilah keadaanya ketika memukul Rebana.Diantara lagu lagu Rebana yang sering dimainkan seperti Minallah,Ya Omar,Sala Tullah.Sakdoman,Sheikh Abdullah,Zainul Makkah dan banyak lagi lagu Rebana yang sering dimainkan oleh mereka.

Guru Rabana yang termashur di Kampong Tok Paduka Raja ini ialah seperti Allahyarham Muhammad kasim,Ahmad Sapri dan Din Jamin,sementara itu diantara tokoh pemain Rebana seperti Pak Man (Man Sakah),Pak Zee,Pak Adam,Pak Lope,Pak Uzir,Pak Ayob adik kepada Pak Uzir.Mereka inilah tokoh tokoh pemain Rebana yang tersohor disekitar tahun 60an hingga keawal 70an dan setengah dari mereka ini sehingga ke tahun 80an pun masih aktif lagi

Rebana boleh dimainkan secara dua pasukan,ini ketika dalam majlis perkahwinan diwaktu mempelai sampai.Pasukan Rebana dari sebelah lelaki dan sebelah perempuan akan berlawan pada ketika itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan